DISEMBER 2023

Elaun Pelatih OKU Program PDK Dinaik RM300 Sebulan


KUCHING: Penjagaan dan sokongan kepada orang kelainan upaya (OKU) adalah salah satu perancangan Kerajaan Persekutuan bagi memupuk pembangunan potensi holistik golongan itu di negara ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWK), Dato Sri Nancy Shukri, kementerian akan membangunkan modul kursus komprehensif untuk penjagaan dan sokongan OKU.

“Sehubungan itu, kami meningkatkan elaun pelatih OKU dalam Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) daripada RM150 kepada RM300 sebulan, menegaskan komitmen kami terhadap pemerkasaan dan kebajikan mereka,” katanya dalam perutusan Hari Krismas dan Tahun Baru 2024 hari ini.

Sementara itu, kata Ahli Parlimen Santubong terbabit, kementeriannya juga komited untuk meningkatkan ekonomi penjagaan yang merupakan perkara penting untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial negara.

“Antara fokus KPWK pada tahun-tahun akan datang adalah untuk membangunkan dasar dan program yang menangani pelbagai keperluan penduduk Malaysia.

“Hal ini daripada penjagaan kanak-kanak kepada penjagaan warga tua, memastikan perkhidmatan yang boleh diakses dan berkualiti tinggi untuk semua.

“Selain itu, program Wanita Bangkit@KPWKM dilaksanakan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah memberi manfaat kepada 9,430 wanita termasuk usahawan kecil yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Golongan wanita ini mendapat bimbingan dan sokongan daripada mentor berpengalaman dengan kerjasama YKN,” katanya.

Untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak, Nancy berkata KPWKM menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, beroperasi sejak 1 September 2023 dan berharap jabatan itu akan menjadi agensi bebas pada masa depan.

Sumber dari : Jiwa Bakti